Username: Pass: Daftar!
* *
Sabtu, 29 November 2014, 7 Safar 1436
Utara Online Portal Rakyat Malaysia: Forums

UtaraOnline.net :: View topic - Maahad Tahfiz Sains Darul Aman
 Forum FAQForum FAQ   SearchSearch   UsergroupsUsergroups   ProfileProfile   Log in to check your private messagesLog in to check your private messages   Log inLog in 

Maahad Tahfiz Sains Darul Aman

 
Post new topic   Reply to topic    UtaraOnline.net Forum Index -> Kedah
View previous topic :: View next topic  
Author Message
al_madd
Platinum Member
Platinum Member


Joined: Aug 03, 2008
Posts: 5680
Location: belah utara....

PostPosted: Sun Jun 03, 2012 8:49 pm    Post subject: Maahad Tahfiz Sains Darul Aman Reply with quote

Terbinanya Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) merupakan cetusan idea oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak dan diamanahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah untuk mengurus dan mentadbirnya.

Sesi persekolahan telah bermula pada 2 Jan 2012 lalu dan beroperasi di kampus sementara di Jalan Pegawai, Kulim sementara kampus tetapnya di Pulau Tuba siap dibina pada tahun 2015.

Berikut merupakan wawancara khas Warta Darul Aman bersama Pengetua MTSD, Ustaz Ahmad Sayuti Ayob, mengenai perkembangan dan kemajuan MTSD sepanjang tempoh sesi pengajian bermula. Beliau yang memiliki BA, lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir juga merupakan bekas Pengetua di Madrasah Islahiah Lubuk Merbok.

Warta Darul Aman (WDA) : Boleh Ustaz ceritakan sedikit mengenai sejarah penubuhan MTSD.

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : MTSD ditubuhkan hasil cetusan idea dari Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak dengan hasrat melahirkan generasi saintis dan professional yang bukan sahaja boleh mengusai ilmu akademik malah memahami dan menghayati Al-Quran dalam setiap aspek kehidupan.

MTSD adalah satu-satunya sekolah berasrama penuh yang dibawah pengawalan dan pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK). Sementara kita menanti kampus tetap siap dibina di Pulau Tuba, Langkawi yang dijangkakan pada tahun 2015, MTSD memulakan sesi persekolahannya di kampus sementara di Jalan Pegawai, Kulim.

Visi MTSD adalah untuk melahirkan huffaz yang berpengetahuan tinggi dalam Sains manakala Misi MTSD ialah mewujudkan suasana pembelajaran yang lengkap bagi melahirkan saintis dan huffaz yang mampu menghayati isi kandungan Al-Quran di samping menguasai ilmu Waqi’e dan Syari’e serta memiliki sahsiah terpuji, kecerdasan fizikal dan mental.

Objektif penubuhan MTSD juga bertujuan menyediakan peluang pengajian Tahfiz Al-Quran dan Sains dengan menggabungkan sistem pengajian Tahfiz Al-Quran, Agama dan Akademik selain melahirkan sainstis dan profesional yang menghayati Al-Quran di samping melahirkan generasi pelapis pemimpin yang bertrampilan dan berpengetahuan.

Warta Darul Aman (WDA) : Apakah bidang kurikulum dan kokurikulum yang ditawarkan di MTSD?

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Kurikulum MTSD terbahagi kepada tiga iaitu, Tahfiz Al- Quran, Agama dan Bahasa Arab serta Akademik (KBSM).

Kurikulum Tahfiz adalah berdasarkan kaedah yang diguna pakai oleh Maahad Tahfiz di Malaysia dan Mesir yang mengandungi kaedah tajwid, talaqqi, hafazan, tasmi’ dan murajaah.

Antara kaedahnya, kita meletakkan sasaran jumlah juzuk hafazan iaitu sebanyak 6 juzuk semasa di tingkatan satu, 7 juzuk di tingkatan dua, 6 juzuk di tingkatan 3, 7 juzuk di tingkatan 4 dan 4 juzuk di tingkatan lima. Ini bermakna lima tahun pembelajaran, para pelajar boleh menyelesaikan hafazan mereka untuk sebuah Al-Quran, 30 juzuk.

Sementara itu kurikulum Agama dan Bahasa Arab adalah berdasarkan kurikulum yang digunakan oleh SMA Negeri Kedah, merangkumi mata pelajaran seperti Pendidikan Islam, Bahasa Arab, Tafsir, Hadis, Feqah, Tauhid, Sirah/Tarikh Islam dan untuk tingkatan empat dan lima tambah dua mata pelajaran lagi iaitu Pendidikan Al-Quran dan Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Untuk Kurikulum Akademik pula berdasarkan KBSM termasuk mata pelajaran seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Kemahiran Hidup Bersepadu, Geografi, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Sementara itu Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik untuk tingkatan empat dan lima.

Ko-Kurikulum MTSD dibahagikan kepada tiga iaitu Sukan dan Permainan, Badan Beruniform serta Kelab dan Persatuan.

Di MTSD, kita menawarkan permainan seperti futsal, bola tampar, bola jaring, ping pong, badminton dan sepak takraw. Untuk Badan Beruniform kita melibatkan Persatuan Bulan Sabit Merah dan Kadet Pertahanan Awam.

Sementara itu untuk Kelab dan Persatuan, kita ada Kelab Taekwando, Saintis Muda, Kesenian Islam, Pebimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Usahawan Muda.

Semua pelajar diwajibkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam ko-kurikulum anjuran MTSD dan JHEAIK.

Warta Darul Aman (WDA) : Bagaimana gabungan mata pelajaran Sains dan hafazan Al-Quran dapat membantu pelajar khususnya dan para waris amnya.

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Seperti yang kita ketahui, Sains dan Al-Quran tidak dapat dipisahkan tetapi Al-Quran bukanlah buku Sains. Al-Quran adalah wahyu Allah dan di dalamnya terdapat ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena yang berkaitan. Sains pula ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan Al-Quran.

Bagi pelajar di MTSD, dengan menghafaz Al-Quran dan memahaminya, mereka dapat mengaplikasikannya dalam mata pelajaran Sains serta memudahkan mereka memahami konsep Sains. Dengan memahami mata pelajaran Sains pula, mereka dapat mengkaji rahsia- rahsia yang terkandung di dalam Al-Quran, terutama penemuan saintifik yang tersirat di dalam Al-Quran.

Penggabungan berkenaan secara tidak langsung dapat merealisasikan impian para waris untuk melahirkan generasi huffaz serta pada masa yang sama pakar dalam bidang Sains.

Warta Darul Aman (WDA) : Bagaimana pula sistem pembelajaran dan jadual asrama di MTSD?

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Jadual harian pelajar di asrama bermula seawal 5.00 pagi untuk khidmat diri dan seterusnya ke surau untuk solat subuh. Para pelajar akan bersarapan pada pukul 7.00 pagi dan sesi kelas akan bermula pada pukul 7.30 pagi.

Pada hari Ahad dan Isnin kelas tamat pada pukul 3.45 petang dan pada hari Selasa hingga Khamis akan tamat pada pukul 3.10 petang. Prep petang akan bermula pada pukul 3.30 petang sehinggalah 4.30 petang. Selepas solat Asar, para pelajar diwajibkan beriadah untuk menyihatkan diri dan menenangkan fikiran.

Pada sebelah malam, kelas Talaqqi Al-Quran akan bermula selepas solat Maghrib dan diikuti prep malam dari pukul 10.00 malam sehingga 10.45 malam. Selepas minum malam, para pelajar dikehendaki tidur tepat jam 11.00 malam.


Pada hari cuti persekolahan, Jumaat dan Sabtu, para pelajar akan beriadah pada pukul 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi. Kelas pengukuhan akan diadakan pada pukul 10.00 pagi sehingga 11.00 pagi pada hari Jumaat dan 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari pada hari Sabtu.

Para pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekali sebulan dan pada masa lain, para waris dibenarkan melawat dua kali sebulan dan boleh membawa anak mereka keluar dari pagi sehingga pukul 6.00 petang.

Warta Darul Aman (WDA) : Selain dari jadual pembelajaran yang perlu diikuti oleh pelajar, adakah MTSD melaksanakan undang-undang yang lain berkaitan untuk mendisplinkan pelajar terutama dalam membantu dan memudahkan pelajar menghafal A-Quran, contohnya seperti permakanan dan sebagainya.

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Di MTSD, kita sangat mengambil berat soal-soal berkaitan permakanan kerana ianya amat berkait rapat dengan aktiviti hafazan pelajar. Kita tidak membenarkan makanan ringan seperti mee segera, keropok berperisa, ikan bilis dan lain-lain berkaitan disediakan di kantin sekolah mahu pun dibawa dari rumah.

Selain itu, para pelajar juga tidak dibenarkan menonton televisyen kecuali rancangan yang bermanfaat untuk menambah ilmu serta mendengar radio. Sekiranya mereka ingin mendengar radio, hanya radio IKIM sahaja yang kami benarkan. Sebenarnya, perkara-perkara sedemikian sepintas lalu nampak seperti perkara remeh sahaja tetapi sebenarnya ianya amat meninggalkan kesan kepada pembelajaran mereka terutama untuk menghafal Al-Quran.

Warta Darul Aman (WDA) : Apakah kelayakan yang perlu ada untuk memohon ke MTSD dan berapakah bilangan pelajar kini serta bagaimanakah sambutan masyarakat terhadap MTSD?

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR dan lulus Ujian Tilawah, Ujian Hafazan dan Ujian Bertulis JHEAIK sahaja yang akan diterima masuk ke MTSD. Kita memberi keutamaan kepada pelajar atau warisnya lahir di Negeri Kedah. Semua ujian kemasukan dikendalikan oleh JHEAIK dan yang hanya benar-benar layak sahaja diterima.

Untuk tahun yang pertama ini, seramai 50 pelajar, 25 lelaki dan 25 perempuan belajar di MTSD. Untuk pengetahuan, kita hanya akan mengambil hanya 50 orang pelajar setiap tahun.

Sambutan dari masyarakat amatlah menggalakkan, untuk kemasukan ambilan 2012 yang lalu, MTSD telah menerima 400 permohonan dari pelajar pelbagai aliran samada Sekolah Kebangsaan mahu pun Sekolah Rendah Islam. Ini berikutan sejak akhir-akhir ini kecenderungan para waris menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah aliran agama/tahfiz sangat tinggi.



Warta Darul Aman (WDA) : Bagaimana pula dengan guru-guru dan kakitangan di MTSD?

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Kakitangan MTSD terdiri dari 10 orang guru, 6 lelaki 4 perempuan, 3 orang staf sokongan, 4 orang pengawal keselamatan yang bertugas siang dan malam, 5 orang tukang cuci dan seorang warden asrama.

Guru-guru di MTSD ini telah diambil melalui temuduga JHEAIK dan kebanyakan dari mereka telah mempunyai pengalaman mengajar serta mempunyai kelayakan yang setaraf dengan guru-guru di sekolah-sekolah kementerian.



Warta Darul Aman (WDA) : Apakah kemudahan yang disediakan kepada pelajar dan juga penghuni MTSD

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Antara kemudahan yang terdapat di MTSD, antaranya blok pentadbiran, blok akademik, blok makmal dan bengkel, perpustakaan, dewan makan, asrama untuk pelajar puteri dan putera, surau dan rumah warden.

Selain itu, asrama pelajar juga dilengkapi dengan air minuman bertapis dan mesin basuh berbayar. JHEAIK juga menyediakan sebuah van untuk kegunaan para pelajar di sini.

Warta Darul Aman (WDA) : Bagaimana pula dengan bayaran yuran dan lain-lain di MTSD?

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Di MTSD, tiada sebarang yuran persekolahan yang dikenakan kepada pelajar, semua kos berkaitan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui JHEAIK cuma seperti sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain, kita hanya mengenakan bayaran RM1 sehari untuk makan iaitu RM30 sebulan.

Warta Darul Aman (WDA) : Bagaimana pula peluang selanjut, kemanakah lepasan MTSD boleh melanjutkan pelajaran?

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Sebenarnya, peluang lepasan MTSD sangat luas. Lepasan SPM MTSD boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang tahfiz Al-Quran dan agama di universiti tempatan atau pun luar negara.Sementara itu mereka juga boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan dan saintis di universiti dalam dan luar negara.

Selain itu, para pelajar juga boleh menyambung pengajian ke tingkatan 6 untuk STAM, STPM dan Diploma Tahfiz.

Warta Darul Aman (WDA) : Akhirnya, apakah harapan Ustaz sendiri selaku Pengetua MTSD terhadap pelajar, waris dan kerajaan negeri?

Ustaz Ahmad Sayuti (UAS) : Harapan saya, semoga MTSD berjaya melahirkan golongan Hufazz yang berkualiti, profesional, bertrampilan serta berpengetahuan tinggi dalam setiap aspek kehidupan. Semoga hasrat dan cita-cita Menteri Besar sendiri terlaksana dan dapat direalisasikan selaras dengan hasrat kerajaan negeri ke arah memartabatkan institusi pendidikan.

Saya juga berharap kepada para waris agar memberi kerjasama sewajarnya terutama dalam membantu dan memantau pembelajaran anak-anak mereka di rumah. Tanpa kerjasama dan bantuan dari para waris, kemungkinan matlamat MTSD tidak akan berjaya sepenuhnya. MTSD juga mengalu-alukan sebarang cadangan serta komen membina untuk sama-sama kita berkongsi untuk kebaikan pelajar-pelajar di sini.

Jesturu itu, InsyaAllah pada bulan Jun ini akan diadakan perjumpaan bersama waris dan seperti sekolah-sekolah lain kita akan tubuhkan PIBG MTSD. Melalui PIBG sekolah, mungkin pelbagai cadangan dan pandangan bernas yang boleh MTSD manfaatkan untuk kebaikan pelajar.

Kepada para pelajar, gunalah peluang yang ada sebaiknya, anda adalah antara pelajar bertuah yang berjaya masuk ke MTSD. Belajarlah bersungguh-sungguh, kejarlah impian anda sebaiknya agar impian itu menjadi realiti. Semoga anda semua akan tampil sebagai ahli masyarakat yang memiliki Al-Quran di dada serta berkualiti dari sudut ukhrawi dan duniawi.

Saya juga berharap kepada guru-guru serta kakitangan MSTD agar dapat memberi komitmen yang padu dan berusaha bersungguh- sungguh untuk mencapai hasrat murni kerajaan negeri.

MTSD juga berharap, agar kerajaan negeri memberi laluan sewajarnya kepada guru-guru di sini untuk mengikuti Kursus Diploma Pendidikan agar tenaga pengajar di MTSD boleh meningkatkan lagi mutu pengajaran terutama untuk menggunakan kaedah-kaedah terkini dalam P&P.

Akhir sekali, semoga perancangan dan usaha yang melibatkan banyak pihak ini berjaya dan mendapat rahmat dari Allah SWT serta menjadi contoh terbaik di Kedah mahu pun di luar Kedah.


http://wartakedah.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1682%3Alatarbelakang-dan-misi-maahad-tahfiz-sains-darul-aman&catid=36%3Aberita&Itemid=67&lang=ms[/b]
Back to top
View user's profile Send private message
al_madd
Platinum Member
Platinum Member


Joined: Aug 03, 2008
Posts: 5680
Location: belah utara....

PostPosted: Sun Jun 03, 2012 8:52 pm    Post subject: Reply with quote

Maahad Tahfiz pertama di Kedah gabungkan sains dan Al-Quran

KULIM - Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) merupakan maahad tahfiz pertama di Kedah yang menggabungkan pelajaran Sains dan Al-Quran dalam usaha melahirkan generasi saintis dan profesional yang menguasai ilmu akademik, memahami hukum hakam serta menghayati A-Quran dalam setiap aspek kehidupan.

MTSD adalah cetusan idea dari Menteri Besar, YAB Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak yang kini telah memulakan sesi pengajian pada 2 Jan 2012 yang lalu. Seramai 50 pelajar yang terdiri dari 25 pelajar perempuan dan 25 pelajar lelaki telah dipilih untuk sesi pengajian tahun ini.

Pelajar yang diterima masuk belajar di MTSD selain memiliki 5A dalam UPSR dan boleh membaca Al-Quran dengan baik, mereka terlebih dahulu perlu menduduki temuduga yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK). Hanya pelajar yang lulus temuduga berkenaan sahaja yang akan diterima belajar di MTSD.

Sekolah yang ditabbir sepenuhnya oleh JHEAIK, kini beroperasi di kampus sementaranya di Jalan Pegawai, Kulim sementara kampus tetap di Pulau Tuba siap dibina pada tahun 2015. Di kampus sementara ini, kelengkapan seperti blok pentadbiran, blok akademik, blok makmal, bengkel, perpustakaan, dewan makan, asrama puteri dan putera, surau dan rumah warden disediakan.

Kurikulum MTSD terbahagi kepada tiga iaitu Kurikulum Tahfiz Al-Quran, Agama dan Bahasa Arab serta Akademik (KBSM). Sementara itu Ko-Kurikulum MTSD juga dibahagikan kepada tiga, melibatkan sukan dan permainan, badan berunifom serta kelab dan persatuan.

Selain itu, pelajar-pelajar MTSD dikehendaki menghabiskan hafazan mereka mengikut kadar yang ditetapkan. Untuk tingkatan satu sebanyak 6 juzuk, tingkatan dua 7 juzuk, tingkatan tiga 6 juzuk, tingkatan empat 7 juzuk dan 4 juzuk di tingkatan lima. MTSD mensasarkan 30 juzuk Al-Quran lengkap dihafal oleh pelajar selama lima tahun persekolahan mereka di situ.

Walau pun MTSD baru berusia kurang dari setahun, namun melalui aktiviti kemasyarakatan di kawasan berhampiran menjadikan ianya cepat dikenali serta akhlak baik yang diperlihatkan oleh pelajar-pelajar MTSD mendapat pujian dan menarik minat masyarakat untuk mengenali MTSD dengan lebih dekat lagi. Selain itu MTSD juga turut mengambil bahagian dalam acara sukan anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Agama Kedah (MASSAK).

Sementara itu, guru-guru di MTSD merupakan guru-guru berpengalaman serta memiliki kelulusan setaraf dengan guru-guru di sekolah-sekolah kementerian pendidikan. Mereka juga dibayar gaji bulanan sama seperti guru-guru kementerian.

Sasaran MTSD hanya 50 pelajar setiap pengambilan dan dijangkakan hanya sekitar 250 pelajar sehingga 300 pelajar termasuk yang menduduki STAM dan STPM akan diterima masuk ke MTSD. Dengan jumlah sedemikian memberi ruang yang selesa kepada tenaga pengajar untuk merealisasikan matlamat, visi dan missi MTSD.

Lepasan MTSD berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara samada untuk bidang agama, tahfiz, kedoktoran, kejuruteraan, saintis atau lain-lain yang berkaitan. Mereka juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 untuk menduduki STAM, STPM atau mengikuti kursus Diploma Tahfiz.

Semoga usaha murni kerajaan negeri diberkati Allah dan MTSD akan muncul sebagai institusi pengajian yang terunggul di Kedah khasnya dan di Malaysia amnya.
Back to top
View user's profile Send private message
IbnuHusin
Krew Super Mod


Joined: Aug 27, 2008
Posts: 5630
Location: Oghang Utagha.. kat utaraonline.net laaa!!

PostPosted: Sun Jun 03, 2012 8:54 pm    Post subject: Reply with quote

Terbitan bursa saham 'Akhirat' dipapan utama. Bersamalah kita membuat pelaburan yang pasti banyak 'dividennya' menanti kita.

P/s: Harap Madd dapat memberi maklumat lanjut.
Back to top
View user's profile Send private message
nasya
 
 


Joined: Nov 07, 2008
Posts: 2983
Location: ALLAH ghayatuna,arRasul Qudwatunaa,al-Quran Dusturunaa,al-Jihad sabiiluuna,al-Maut fi sabiilillah.

PostPosted: Sun Jun 03, 2012 10:08 pm    Post subject: Reply with quote

saya bercita2
nak buka sa
school ni gok

Amiiiin ya Rabbal a'lamiin
Rolling Eyes
Back to top
View user's profile Send private message
al_madd
Platinum Member
Platinum Member


Joined: Aug 03, 2008
Posts: 5680
Location: belah utara....

PostPosted: Sun Jun 03, 2012 11:17 pm    Post subject: Reply with quote

IbnuHusin wrote:
Terbitan bursa saham 'Akhirat' dipapan utama. Bersamalah kita membuat pelaburan yang pasti banyak 'dividennya' menanti kita.

P/s: Harap Madd dapat memberi maklumat lanjut.



maklumat lanjut apa paksu??
Back to top
View user's profile Send private message
Display posts from previous:   
Post new topic   Reply to topic    UtaraOnline.net Forum Index -> Kedah All times are GMT + 8 Hours
Page 1 of 1

 
Jump to:  
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot vote in polls in this forum

Powered by phpBB © 2001, 2005 phpBB Group
Forums ©
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER & PENTADBIRAN UO
Dasar Kami : Menyiarkan semua email pengunjung tanpa sebarang edit dari segi bahasa dan ejaan. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas segala bentuk penyebaran bahan tulisan oleh pihak pengunjung. (Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat)
©2008 Hakcipta Tak Terpelihara. Anda dibenarkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
PENAFIAN:- UtaraOnline tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.